EDUWEBTV




EDUWEBTV  - Pendidikan Digital Untuk Semua

EDUWEBTV telah dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai satu wadah Pendidikan Digital untuk Semua. Pembangunan EDUWEBTV membolehkan sistem penghantaran program  pendidikan untuk Guru-guru dan Murid - murid menjadi lebih baik serta mampu mewujudkan lebih banyak lagi sekolah yang bertaraf Bestari. EDUWEBTV juga merupakan satu usaha untuk mengurangkan jurang  digital antara bandar, luar bandar, pedalaman dan juga hilir bandar.

1.        DEFINISI
EDUWEBTV merupakan portal pendidikan  interaktifberasaskan video yang boleh digunakan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

2.        VISI
Untuk menjadi Portal Pendidikan berasaskan Video Pendidikan bertaraf dunia menerusi penerapan nilai-nilai murni menggunakan teknik video.

3.        MISI
Untuk menerajui pembangunan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) berteraskan maklumat dan komunikasi yang kreatif sejajar  dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010.

4.        COGAN KATA

Pendidikan Digital Untuk Semua (Digital Education for All)

SALURAN-SALURAN EDUWEBTV

EDUWEBTV merupakan Portal berasaskan kepada video pendidikan yang mempunyai saluran-saluran tertentu yang mempunyai fokus dan matlamat yang berbeza. Terdapat tujuh (7) saluran dalam Portal EDUWEBTV seperti saluran Berita, Akademik, Rencana, Wawancara, TV Pendidikan, Interaktif dan Siaran Langsung.

1.        BERITA

Saluran Berita merupakan saluran yang menempatkan video-video yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti berkaitan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahupun
sekolah-sekolah di Malaysia. Video-video yang terdapat dalam Saluran Berita ini terdiri daripada dua (2) bahasa utama iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saluran yang berbentuk Berita dalam Pendidikan  (News in Education) ini mampu menyediakan laporan-laporan seperti aktiviti atau program KPM, isu-isu semasa pendidikan, polisi kerajaan dan program-program pendidikan di sekolah yang boleh digunakan oleh Guru sebagai bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Sebagai contoh, oleh kerana video yang terdapat dalam Saluran Berita ini terdiri daripada dua (2) bahasa, maka ianya  boleh digunakan untuk menjadi Bahan Bantu Mengajar (BBM) untuk latihan tatabahasa. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan sebagai rujukan penterjemahan.

2.        AKADEMIK

Saluran Akademik merupakan saluran yang menempatkan video berkaitan akademik seperti kursus-kursus ahli akademik yang dijalankan sama ada di dalam atau di luar negara. Dengan itu, pengguna seperti Guru atau Murid yang tidak mengikuti kursus boleh berkongsi maklumat tersebut. Selain itu, ianya juga dijadikan sebagai pembakar semangat dan juga pencetus inspirasi.

3.        RENCANA

Saluran Rencana merupakan saluran  video yang menempatkan video-video rencana yang dirancang khas untuk tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat. Antara kandungan rencana adalah seperti Pendidikan Teknik dan Vokasional, Program j-QAF, Pembangunan Kurikulum dan Usahawan yang akan dikupas dan dipersembahkan melalui persembahan video. Secara keseluruhannya, saluran rencana ini menempatkan video berkaitan dengan aktiviti pendidikan dan juga amalan-amalan terbaik.

4.        WAWANCARA

Saluran Wawancara merupakan saluran video wawancara atau temubual bersama Personaliti Pendidikan yang  berperanan mewarnai halatuju program dan agenda pendidikan negara. Wawancara yang dilakukan akan menekankan mengenai isu-isu berkaitan dengan pendidikan negara. Melalui wawancara yang dijalankan ini, pengguna dapat mengenali Personaliti Pendidikan dan menjadikan isu yang diwawancara sebagai satu panduan yang boleh digunakan dan diamalkan.

5.        TV PENDIDIKAN

Rancangan TV Pendidikan (TVP) merupakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang dihasilkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Setiap tahun, Sektor TVP menerbitkan pelbagai jenis rancangan untuk disiarkan yang meliputi rancangan berasaskan kurikulum sekolah  rendah dan sekolah menengah. Saluran TV Pendidikan yang terdapat dalam Portal EDUWEBTV merupakan satu landasan yang membawakan TVP secara atas talian. Oleh itu, rancangan-rancangan TVP boleh diulang tayang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui aplikasi web yang disediakan oleh EDUWEBTV. Saluran TVP dalam EDUWEBTV merangkumi pecahan mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malayu, Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah.

6.        INTERAKTIF
 
Saluran Interaktif menempatkan video-video mengenai program-program utama KPM seperti program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Pembestarian Sekolah.

7.        SIARAN LANGSUNG
 
Saluran Siaran Langsung merupakan saluran yang menyiarkan rakaman siaran langsung sesuatu program yang dianjurkan atau melibatkan KPM. Antara rakaman siaran langsung yang pernah dilakukan ialah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008. Dengan adanya rakaman siaran langsung ini akan memberikan informasi berguna kepada warga pendidik khususnya yang tidak dapat mengikuti program secara langsung.

PENGGUNA

EDUWEBTV mempunyai beberapa jenis pengguna yang boleh mengaksesnya secara atas talian. Antara jenis pengguna yang terdapat dalam Portal EDUWEBTV ialah Pentadbir Sistem dan juga Pengguna Akhir yang terdiri daripada Pengguna Awam, Guru dan juga Murid. Setiap jenis pengguna ini mempunyai capaian dan akses yang tersendiri.

KEPERLUAN ASAS

Keperluan asas atau minimum merupakan perkara yang perlu diberi perhatian yang utama sebelum pengguna menggunakan sesuatu aplikasi. Portal EDUWEBTV mempunyai beberapa keperluan asas yang perlu diikuti bagi memastikan pengguna dapat menikmati ciri-ciri hebat Portal EDUWEBTV dengan lancar tanpa sebarang gangguan. EDUWEBTV menetapkan beberapa keperluan asas yang dapat memberikan paparan terbaik seperti penggunaan pelayar web, pemain video dan juga resolusi paparan. Pelayar web yang cadangkan untuk paparan terbaik adalah ‘Internet Explorer versi 6.0 dan ke atas. Manakala bagi pemain video pula terdiri daripada Windows Media Player 9.0 dan ke atas. Paparan terbaik hanya akan dapat dinikmati apabila resolusi skrin ditetapkan pada ukuran 1024 x 768 ‘pixels’.


RUMUSAN

Pengenalan dan Pendedahan awal kepada Portal EDUWEBTV diawal sesi latihan dapat
memberi gambaran secara menyeluruh kepada peserta mengenai Portal EDUWEBTV. Oleh itu, diharapkan latihan yang akan diberikan seterusnya akan berjalan dengan lancar dan baik. Hasil daripada pengenalan dan pendedahan ini membolehkan peserta membuat ksplorasi ke atas Portal EDUWEBTV dengan sendiri. 

 


No comments:

Post a Comment